Monday, November 17, 2008

Hari Ketiga...

Alhamdulillah, kami kini sudah melepasi hari ketiga misi. Setakat ini perancangan berjalan dengan lancar. Pada jam 8.30 pagi kami di bawa ke rumah makcik Jalil menaiki “bajaj” (tricycle). Cuma ada 2 ‘bajaj’ je. Jadi, kami kena bersempit dalam satu 'bajaj' (agak merana..huhu). Di rumah makcik Jalil (suaminya Pakcik Jalil sudah meninggal dunia), berbagai-bagai aktiviti telah dijalankan disana. Antaranya:

Kelas Bahasa Melayu (kelihatan pakcik-pakcik dan makcik-makcik di sini sangat berminat untuk mempelajari Bahasa Melayu)

Demonstrasi pemakaian tudung. Kebanyakan wanita di sini hanya memakai selendang yang dililit atau diletakkan di atas kepala.

Makan tengahari. Hari ini kami dijamu dengan nasi, ayam goreng, sayur terung, dan sambal tumis yang kami masak tadi.

Inilah bajaj yang kami naik.

Syah sedang bercakap dan memberikan motivasi kepada penduduk Melayu

Kami di hadapan rumah Mak Cik Jalil

Kami amat berterima kasih dengan Makcik Jalil yang bertungkus lumus menyediakan makanan dan menyambut kami dengan baik di rumah beliau. Ramai juga komuniti Melayu yang datang bagi memeriahkan majlis. Banyak perkara yang dibincangkan bersama dengan masyarakat Melayu terutamanya dalam membentuk kesedaran bahawa mereka tidak akan maju ke hadapan seandainya mereka tidak berusaha untuk kearah itu. Jika hanya mengharapkan beberapa kerat orang Melayu sahaja yang berhempas pulas menyelamatkan Melayu, sedangkan yang lain hanya duduk bergoyang kaki dan hanya pandai menunding jari mencari kesalahan orang lain, maka perjuangan memartabatkan Melayu di Sri Lanka ini akan menjadi sia-sia. Perkara inilah sebenarnya yang menjadi barah dalam masyarakat Melayu di sini.


Namun begitu, semangat yang ditunjukkan oleh orang Melayu ini untuk berkumpul dan menghayati setiap aktiviti yang kami jalankan di sini memberikan gambaran yang positif untuk melihat Melayu terus hidup di bumi Sri Lanka ini dengan budayanya yang tersendiri. Semoga perjumpaan yang diadakan di rumah Makcik Jalil ini menjadi suatu permulaan yang baik bagi sebuah masyarakat Melayu yang lebih kolektif.

Dari rumah makcik Jalil, kami dibawa ke sebuah madrasah bedekatan rumah Pakcik Jamalon. Di kawasan tersebut hanya terdapat lebih kurang 37 keluarga Islam. Tetapi madrasah tersebut hanya mengadakan kelas Al-Qur’an untuk kanak-kanak sahaja. Method yang digunakan juga agak berbeza tetapi ada sedikit persamaan dgn cara pengajaran di Malaysia (iqra’). Disini kanak2 diajar mengaji Al-Qur’an sejak kecil lagi. Kami diperdengarkan bacaan Al-Quran oleh beberapa kanak-kanak yang belajar di situ. Wakil kami juga, telah diminta untuk menunjukkan cara pengajian Al-Quran yang diguna pakai di Malaysia dan diminta untuk membacakan beberapa ayat dari Surah Yaasin. Antara masalah yang dapat kami perhatikan dalam pembelajaran al-Quran di Kurunegala ini adalah ibu bapa kepada kanak-kanak ini lebih menekankan agar anak-anak mereka dapat khatam al-Qurum dalam masa yang singkat. Mereka mengutamakan suatu yang ‘tamam’, iaitu sempurna (seperti sudah khatam al-Quran maka sudah sempurnalah ‘kewajipan’ untuk membaca al-Quran). Namun hakikatnya, pengajaran Al-Quran secara ekspres ini memberikan impak yang negatif terutama pada penghayatan al-Quran itu sendiri.

Wakil misi memperdengarkan bacaan Yaasin

Wakil misi mengajar seorang pelajar membaca iqra'

Perkara ini dapat dilihat dari segi pembacaan anak-anak ini. Mereka jarang diajar mengenai tajwid, malah mungkin tidak pernah tahu mengenai tajwid itu sendiri. Mereka juga tidak diajar mengenai makhraj huruf. Walaupun sebutan huruf mereka ada sedikit berbeza dengan Malaysia, itu bukanlah menjadi masalah. Keprihatinan kami adalah adakah mereka tahu bagaimana bunyi setiap huruf itu dikeluarkan dan pembacaan al-Quran yang betul berdasarkan hukum tajwid yang dipelajari. Kerana kesalahan dalam pembacaan al-Quran mungkin mengubah makna sebenar ayat al-Quran yang membawa kepada dosa si pembaca. Perkara ini telah kami sampaikan kepada ustaz yang mengajar al-Quran di situ. Dan seterusnya tanggungjawab kami untuk mengatur satu gerak kerja bagi menghantar seorang ustaz dari Malaysia untuk mengajar al-Quran di sini nanti. Insya Allah.


Selesai lawatan di madrasah, kami semua pulang ke rumah Pak Cik Jamalon untuk berehat dan menunaikan solat. Kemudian kami bersiap sedia untuk beronggeng! Sampai di rumah Pak Cik Farzan Mahmood (setiausaha Kurunegala Malay Association) beberapa orang melayu sudah menunggu kedatangan kami. Acara beronggeng bermula dengan lagu yang dinyanyikan oleh Shimsi kemudian diselang seli dengan persembahan dari kumpulan kami.




Awe sedang beronggeng!

Awe telah menyanyikan lagu dari jawa, Fahmi menanyikan lagu senyum, Syah mempersembahkan sajak mengenai Melayu Sri Lanka dan kami juga beramai-ramai menyanyikan lagu hidup biar berjasa, rasa sayang yang diiringi dengan beberapa buah pantun dan juga lagu Negaraku!. Terasa segan juga dengan mereka yang lain sebab suara kami ni biasa-biasa sahaja. Kami juga diimbau dengan kenangan lagu ‘Ambil Buyung’ yang pernah dinyanyikan oleh Shimsi ketika rombongan pertama sampai ke Sri Lanka dahulu. Apapun, kami seronok dengan ronggeng yang diadakan malam ini. Nasib baik kami tidak disuruh untuk menari! Huhu.. Selesai bernyanyi, kami dijemput untuk menikmati makan malam. Kami dihidangkan dengan laksa. Agak unik sebenarnya makanan ini. Seperti putu mayam, tetapi dimakan dengan kelapa parut pedas dan ayam kurma. Alhamdulillah, kenyang kami. Dah terlebih kenyang sebenarnya!


Selesai beronggeng, kami pun beransur pulang ke rumah. Kami mengadakan sedikit perbincangan mengenai aktiviti sepanjang hari ini, dan juga membincangkan mengenai keperluan aktiviti pada keesokan harinya. Masing-masing dah mengantuk penangan makan terlalu banyak. Perbincangan tidak mengambil masa yang lama, dan kemudian kami semua masuk ke kamar masing-masing untuk beradu.

Sehingga bertemu lagi pada posting yang berikutnya!

Assalamualaikum..

'Misi Rahmatan lil A'lamiin'

No comments: