Showing posts with label Mission Progress. Show all posts
Showing posts with label Mission Progress. Show all posts

Tuesday, January 13, 2009

29 November 2008 (Hari Ke-14)


Pagi ni, sementara menunggu belia yang di tunggu-tunggu, kami bersantai-santai dan berehat-rehat sahaja. Sarapan pagi, roti nan. Sambil-sambil siapkan report perjalanan harian yang tertangguh-tangguh. Mana tidaknya, dah dekat hari-hari terakhir ni, penatnya semacam saja. Mungkin sebab dah tak sabar nak balik Malaysia. Dalam hati semua dah tertulis perkataan 'Malaysia' (agak je..hehe). Apa pun, tanggungjawab tetap tanggungjawab...bak kata a.k.u.."Buat sampai habis....kita yang mulakan...jangan berhenti di tengah jalan...". he2...(Ter'promote' diri sendiri lak...)

Sampai sahaja mereka-mereka yang di tunggu, kami di bawa ke pusat membeli belah di sekitar Colombo. Rupanya hari ini kami akan di bawa berjala-jalan untuk 'shopping'! Habis la duit rupee kami nanti...hehe..
Tengok la berapa banyak yang kami beli. Tapi bukan untuk diri sendiri. Kebanyakannya untuk orang-orang di Malaysia juga. (n_n) `Rushana & Ahmed, peneman kami memilih barang~

Adapun, barang-barang di Sri Lanka ni tidaklah semurah mana. Lebih kurang sama sahaja dengan harga barang di Malaysia. Lebih-lebih lagi dengan kadar inflasinya yang tinggi. Tak sanggup kami nak beli barang yang bukan-bukan. Terpaksa memilih-milih juga.

Habis ber'shopping', kami dibawa pula ke sebuah restoran makanan segera (tak ingat namanya). Makan tengahari kami hari ini di taja khas oleh Rushana dan kawan-kawannya. Terharu kami dengan layanan baik dari mereka. Di restoran ini, kebanyakan makanan berasaskan roti.
Menunggu makanan dengan muka lapar...

Selepas itu, kami terus di bawa pulang ke Kent Road semula. Selepas solat Marghrib, kami bersiap-siap untuk ke rumah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Sri Lanka, En. Ramli Ismail untuk jemputan makan malam. Kami di jemput khas sebelum pulang ke Malaysia keesokan hari. Setelah sekian lama, barulah hari ini kami dapat rasa kembali masakan Melayu.. Masing-masing makan dengan penuh berselera, tetapi malu-malu nak tambah. (n_n)..

Bergambar kenangan selepas makan...

Balik dari makan malam, kami diraikan oleh belia-belia YMMA di rumah. Rasa sedih kerana inilah malam terakhir kami di Sri Lanka. Kami menghabiskan masa dengan berborak dan mengambil gambar. Fahmi & Syah di bawa berjalan-jalan oleh kawan-kawan mereka...walaupun letih dan mengantuk, kami gagahkan juga. Sambil-sambil tu, terpaksa mengemas barang yang dah tak boleh di masukkan dalam beg. Berhempas pulas kami mengemas. Bertambah pula barang-barang untuk di bawa pulang. Mana tidaknya, di tambah dengan hadiah-hadiah yang kami terima sepanjang misi.



Inilah belia-belia YMMA yang menemani kami sepanjang hari...



Si Comel Aiman yang bakal kami rindui....

Wallahu'alam...



Tuesday, December 9, 2008

28 November 2008 (Hari ke-13)

Alhamdulillah, kami telah melalui hari yang ke-13 misi. Pagi ini, tiada apa-apa program di jadualkan untuk kami. Jadi, untuk menghabiskan masa, kami menyelesaikan tugas-tugas peribadi seperti membasuh baju dan mengemas barang. Lagipun tinggal sehari sahaja lagi kami di sini.
Hari ini kami di jemput untuk makan tengahari di rumah seorang ahli YWMA (Youth Women Muslim Association). Walaupun di janjikan kenderaan akan tiba awal, namun jam 12 tengahari baru kami bertolak dari Kent Road. Lihatlah, betapa sedapnya pencuci mulut yang di hidangkan..=D.


Namun, sedikit perselisihan faham telah berlaku antara kami dan tuan rumah. Sebelum ke sana, kami semua telah menunaikan solat jamak Zuhur & Asar. Tetapi, apabila tiba di rumah tersebut, tuan rumah mengajak Syah dan Fahmi untuk solat Jumaat di masjid bedekatan. Nak di jadikan cerita, puas kami menerangkan bahawa kami sudah solat jamak di Rumah Makcik Machiya, Namun jawapan itu tidak di terima oleh Pak Cik tersebut. Maka, terpaksalah mereka berdua ikut Pak Cik tersebut ke Masjid untuk solat Jumaat... (Awe sedikit terganggu dengan insiden tersebut...huhu)
Pengajarannya? Hormati tuan rumah... Dan, fahami situasi semasa...
Selepas makan tengahari, kami di bawa ke Zahira Collage bagi sambutan Islamic Day 2008. Kami ni boleh la di katakan sebagai 'VIP'. Mendapat jemputan khas dari Tn. T.K. Azoor sendiri (Pengetua Zahira Collage). Sudahlah terlewat, jadi perhatian pula bila masuk ke dewan dengan Baju Kurung dan Baju Melayu. Memang sengaja kami kenakan pakaian kebangsaan untuk hari istimewa ini.


Seusai majlis, kami bergegas di bawa ke Padang Complex untuk pertemuan bersama Sri Lankan Malay Association (SLAMAC). Perjumpaan yang sedikit terlewat dari yang di janjikan (kami sentiasa terlewat hari ini kerana menunggu orang...hehe). Alhamdulillah, perjumpaan di jalankan dengan lancar. Tercapai satu lagi objektif kami untuk membina jaringan dengan orang-orang Melayu Sri Lanka.


Selepas perjumpaan tersebut, kami terus di bawa pulang ke Kent Road. InsyaAllah, esok kami akan menghabiskan masa bersama belia-belia YMMA (Youth Men Muslim Association). Kami pun tak pasti kemana kami akan di bawa, namun harapnya akan memberi kesan yang baik untuk misi ini. Insyaallah...






Iklan....
Sedikit kisah...Macam ini lah caranya kami nak kurangkan stress & rindu pada Malaysia.. Bergambar posing ala-ala kumpulan nasyid...(n_n)
Gambar ini diambil di Dondra Light House beberapa hari yang lepas...

Wallahu'alam....



Thursday, November 27, 2008

Hari ke Sepuluh

Kami solat Subuh berjemaah bagi memulakan hari ke sepuluh ini.


Keluarga Pakcik Mustakeen (penjaga rumah pakcik tohirin) menyediakan sarapan yang sungguh lazat dan kami tidak boleh menolak daripada ditambahkan makanan...kenyangnya...
alhamdulillah.

Hari ini kami akan bertukar 'host'. Pihak COSLAM akan menyerahkan kami kepada YMMA untuk meneruskan baki 5 hari di Colombo ini.

10 pagi: Kami dibawa ke ibu pejabat YMMA menaiki van yang dibawa oleh seorang atuk yang memiliki skil memandu yang 'luar biasa'...seramm...
-Mr Khalid Farouq menerangkan perjalanan aktiviti sepanjang 5 hari di Colombo.

10.45 pagi : Tiba di YMMA. Perjalanan yang lambat kerana kesesakan lalu lintas. Mr Khalid Farouk menyambut kami dan membawa ke pejabat di tingkat dua. Di situ kami bertemu Uncle Halim, Azra, Aunty Mackiya, Rusyanah dan beberapa pimpinan tertinggi YMMA.

11.20 pagi : Kami dibawa bersiar-siar di bandar Colombo.

-Masjid di tengah-tengah bandar colombo. Kami bercadang nak solat di sini, malangnya perempuan tak dibenarkan masuk.-Victoria Park

2.45 petang : Kami bertemu Ameen Akbar di masjid Akbar (masjid yang diasaskan oleh moyangnya). Kemudian dijemput minum di rumahnya.

-Masjid Akbar yang berusia lebih 200 tahun dibina oleh orang Melayu.

4.30 petang : Pertemuan dengan aktivis hak asasi manusia yang juga merupakan seorang ilmuwan yang terkenal di Sri Lanka, Mdm Jezima Ismail. Malangnya, beliau belum sampai di rumah. Jadi, kami ke rumah kawan aunty Mackiya yang terletak berhampiran untuk menumpang solat.

5.30 petang : Pertemuan dan perbincangan bersama Mdm Jezima Ismail. Seorang yang sangat merendah diri dan berpengetahuan tinggi.

8.00 malam : Kami menuju ke rumah anak perempuan aunty Mackiya, di mana kami akan menetap sehingga tamat misi ini.

Monday, November 24, 2008

Berita Terbaru......!!!!

Alhamdulillah, kami dah pun melalui hari ke-10 misi. Sedar tak sedar, dah seminggu kami tak dapat nak update blog.. Risau juga, takut-takut ada yang risaukan kami di sini..hehe.. Em, tertanya-tanya juga apa yang berlaku di tanah air kala ini. Kot-kot Anwar Ibrahim dah jadi PM...=P.

Apapun, secara ringkasnya, inilah kisah perjalanan kami sepanjang seminggu ini.

Hari ke-6, Khamis (20 Nov 2008):

~Sarapan pagi- meggi goreng air tangan Fahmi...

Bersama keluarga Pak Cik Jamalon yang baik hati..Mak Cik Jamalon & Kak Fah. Bersiap-siap untuk ke Colombo.

Lawatan ke kedutaan Malaysia di Colombo bertemu Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Sri Lanka-Tuan Yang Terutama Rosli Ismail. Kami dijemput untuk makan malam di rumahnya pada hari Sabtu-Hari terakhir kami di Sri Lanka.

Mesyuarat bersama exco COSLAM (Confrence of Sri Lanka Malay) di Zahira College selepas maghrib. Kami menginap di rumah anak pakcik Tahirin.


Hari ke-7, Jumaat (21 Nov 2008):

Perjalanan ke Hambantota. Kali ini kami ditemani oleh Pak Cik Mohaj, Mama Liza, Pak Cik Asmon dan Ahmad. Kami singgah minum teh di Ratnapura.

Sampai di Hambantantota kira-kira jam 1 petang. Sukarelawan lelaki di bawa ke masjid untuk solat jumaat manakala yang perempuan pergi ke rumah nenek Dewi. Kami juga di temani Pak Cik Permata- Salah seorang wakil COSLAM di Hambantota.



Singgah makan tengahari di rumah nenek Dewi (ibu kepada pakcik Permata). Umur nenek sudah menjangkau 96 tahun tetapi masih sehat. Nenek menceritakan bagaimana dia terselamat semasa tragedi tsunami dimana ketika itu dia terlantar sakit di atas katil.

Perjumpaan bersama masyarakat Melayu Hambantota.Selepas itu singgah sebentar di Zahira College cawangan Hambantota.

Hari Ke-8, Sabtu (22 Nov 2008):

Melawat Kirinda Muslim School. Antara sekolah yang pernah musnah akibat bencana Tsunami 4 tahun yang lalu.
Melawat Pak Cik G.M. Rafaidin. Antara orang Melayu yang terselamat dari bencana Tsunami. Namun dia kini buta sepenuhnya.

Solat di sebuah Masjid (X ingat namanya). Namun tiada ruang solat untuk wanita di sini. Tapi mereka dengan baik hati sediakan sebuah tempat untuk kami bersolat. (Wanita tidak di galakkan pergi ke Masjid).Makan tengahari di rumah saudara Pak Cik Permata. Makanan Melayu. Rasa macam kat Malaysia.

Rumah terakhir untuk hari ini, rumah Pak Cik Bahaman (Ntah2 ada kaitan dengan Datok Bahaman kot..). Antara wakil COSLAM yang aktif di Kirinda.


Hari ke-9, Ahad (23 Nov 2008):

Pagi ini kami bertolak pulang ke Colombo. Sepatutnya bertolak jam 5.30 pagi tetapi lewat tiga jam. Di sepanjang perjalanan, kami singgah di beberapa tempat yang menarik.



Semasa menziarahi kawan pakcik Mohaj, kami sempat menziarahi sebuah madrasah yang terletak di seberang rumahnya.


Kami menyerahkan cenderahati dan sekotak baju kurung kapada pakcik Permata untuk diagih-agihkan kepada penduduk Melayu Hambantota.


Kami singgah di sebuah sekolah di Hambantota dan bertemu dengan beberapa pelajar perempuan sekolah tersebut.


Kami dibawa melawat ke sebuah rumah api oleh pakcik Mohaj. Pakcik Mohaj pernah bertugas di situ sebagai penjaga rumah api.


Selepas menikmati keindahan alam di atas rumah api tersebut, kami langsung meneruskan perjalanan ke Colombo. Perancangan untuk singgah di Fort Galle tak dapat diteruskan kerana kesuntukan masa.


Kami tiba di ibupejabat YMMA tepat jam 6petang. Seusai menunaikan solat, kami terus ke dewan utama untuk sesi bersama Conference of Sri Lanka Malay (COSLAM). Ketua kami telah dijemput memberikan ucapan. Kami sungguh gembira mendapat buku daripada B.D.K. Saldin dan juga cenderamata daripada pihak Coslam. Namun yang paling membanggakan adalah apabila kami mendendangkan lagu 'Hidup Biar Berjasa' di hadapan hampir 50 tetamu.


Wednesday, November 19, 2008

Tangisan Kurunegala....~

Alhamdulillah, kami memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT. Perjalanan misi kami di Sri Lanka ini telah masuk hari yang kelima. Ketika laporan ini ditulis, kami baru sahaja sampai di rumah Pak Cik Jamalon dari rumah Pak Cik Rusdi. Salah seorang dari keluarga Mak Cik Jamalon. Seharian kami di sana hari ini.

Kami berangkat ke rumah Pak Cik Rusdi (adik Mak Cik Jamalon) pada pukul 8.30 pagi selepas bersarapan maggie goreng air tangan Fahmi dan Nadzi. Mula-mula nampak macam banyak, bila dah makan, macam tak cukup la pula. Hahah! Untuk bergerak ke rumah Pak Cik Rusdi, kami menggunakan pengangkutan awam yang paling best kat Sri Lanka ni. -BAS!- Pak Cik Jamalon sengaja membawa kami menaiki bas untuk merasai pengalaman. Kami pun okay sahaja. Tak ada banyak bantahan. Lagipun, kami kan dah diajar untuk bersedia untuk tidak bersedia. Lagipun apa salahnya nak merasai pengalaman baru. Tak adalah teruk sangat pun bas dia. Lebih kurang kat Malaysia je!



Dalam pukul sepuluh kami sampai kat rumah Pak Cik Rusdi. Di sana sukarelawan mengajar bagaimana untuk menjahit baju kurung dan tudung. Salah seorang daripadanya merupakan tukang jahit. Jadi, tugas kami tidaklah terlalu sukar untuk mengajarkan cara-cara membuat baju kurung kepada mereka. Selepas itu, sukarelawan kami juga di minta untuk mengajarkan cara memasak sambal tumis. Disebabkan kekurangan bahan yang di perlukan, akhirnya hanya sambal tumis telur yang berjaya di buat. Selepas itu, kami besama sama menunaikan solat zuhur.


Semasa makan tengahari, kami dijamu dengan nasi, kari daging, salad, sayur kacang dan sambal yang kami masak tadi. Seperti biasa, kami 'di paksa' makan sebanyak yang mungkin. Huhu. Sudah menjadi tradisi di sini tetamu akan di berikan makanan terlebih dahulu, selepas itu barulah tuan rumah akan makan. Dan antara makanan wajib setiap kali selepas makan adalah pisang. Mereka menganggap pisang sebagai pencuci mulut. Ini kerana pisang adalah sangat mudah untuk di dapati disini berbanding buah-buahan yang lain.

Selepas zuhur, kami dibawa ke sebuah rumah yang dijadikan madrasah iaitu kelas mengaji untuk kanak-kanak. Di sana kami meminta mereka untuk memperdengarkan bacaan Surah Al-Fatihah dan beberapa surah yang lain. Kami telah mengambil peluang ini untuk membantu kanak-kanak di sini memperbetulkan bacaan mereka. Masalah bacaan di sini adalah sama sahaja seperti madrasah-madrasah yang lain di Sri Lanka, Kami juga berkongsi cara mengajar Al-Qur'an seperti di Malaysia. Aktiviti kami di sana berakhir setelah masuk waktu marghrib.

Kami kembali semula ke rumah Pak Cik Rusdi dan solat Marghrib & Isya' disana. Sebelum makan malam, kami di bawa berjalan-jalan di sekitar kawasan tersebut. Makan malam kali ni agak berbeza dari biasa. Nasi yang disediakan (macam pulut), dimakan bersama kari, santan, gula dan sambal. Apapun, kami semua sangat kenyang hari ini. Seperti hari-hari yang lepas juga. Sekarang ni, semuanya sukarelawan sedang berehat di bilik masing-masing dan mengemas barang untuk perjalanan ke Colombo esok.

HAri ini merupakan hari terakhir kami tinggal di rumah Pak Cik JAmalon. Ini menandakan program kami di Kurunegala sudah sampai di penghujungnya. Esok, kami akan bergerak ke Colombo untuk melawat bangunan kedutaan Malaysia. Selepas itu, kami akan meneruskan perjalanan ke Hambantota pula.

Secara jujurnya kami semua sangat sedih untuk berpisah dengan Pak Cik Jamalon & keluarganya yang baik hati. Kalau di ikutkan hati, mahu saja kami tinggal di sini hingga akhir misi. Namun, masinh banyak lagi tanggungjawab yang perlu di selesaikan di Colombo & Hambantota. Contohnya, kajian kami mengenai keturunan Syeikh Yusof Al-Makasari di Hambantota. Harapnya perjalanan kami esok & hari-hari yang seterusnya adalah dalam keadaan yang baik seperti di sini.

Apapun, nantikan kisah perjalanan kami yang seterusnya di tempat yang berbeza (Colombo & Hambantota). Kala ini, tangisan (hujan) Kurunegala mengiringi malam terakhir kami disini.. Wallahu'alam...


Monday, November 17, 2008

Hari Ketiga...

Alhamdulillah, kami kini sudah melepasi hari ketiga misi. Setakat ini perancangan berjalan dengan lancar. Pada jam 8.30 pagi kami di bawa ke rumah makcik Jalil menaiki “bajaj” (tricycle). Cuma ada 2 ‘bajaj’ je. Jadi, kami kena bersempit dalam satu 'bajaj' (agak merana..huhu). Di rumah makcik Jalil (suaminya Pakcik Jalil sudah meninggal dunia), berbagai-bagai aktiviti telah dijalankan disana. Antaranya:

Kelas Bahasa Melayu (kelihatan pakcik-pakcik dan makcik-makcik di sini sangat berminat untuk mempelajari Bahasa Melayu)

Demonstrasi pemakaian tudung. Kebanyakan wanita di sini hanya memakai selendang yang dililit atau diletakkan di atas kepala.

Makan tengahari. Hari ini kami dijamu dengan nasi, ayam goreng, sayur terung, dan sambal tumis yang kami masak tadi.

Inilah bajaj yang kami naik.

Syah sedang bercakap dan memberikan motivasi kepada penduduk Melayu

Kami di hadapan rumah Mak Cik Jalil

Kami amat berterima kasih dengan Makcik Jalil yang bertungkus lumus menyediakan makanan dan menyambut kami dengan baik di rumah beliau. Ramai juga komuniti Melayu yang datang bagi memeriahkan majlis. Banyak perkara yang dibincangkan bersama dengan masyarakat Melayu terutamanya dalam membentuk kesedaran bahawa mereka tidak akan maju ke hadapan seandainya mereka tidak berusaha untuk kearah itu. Jika hanya mengharapkan beberapa kerat orang Melayu sahaja yang berhempas pulas menyelamatkan Melayu, sedangkan yang lain hanya duduk bergoyang kaki dan hanya pandai menunding jari mencari kesalahan orang lain, maka perjuangan memartabatkan Melayu di Sri Lanka ini akan menjadi sia-sia. Perkara inilah sebenarnya yang menjadi barah dalam masyarakat Melayu di sini.


Namun begitu, semangat yang ditunjukkan oleh orang Melayu ini untuk berkumpul dan menghayati setiap aktiviti yang kami jalankan di sini memberikan gambaran yang positif untuk melihat Melayu terus hidup di bumi Sri Lanka ini dengan budayanya yang tersendiri. Semoga perjumpaan yang diadakan di rumah Makcik Jalil ini menjadi suatu permulaan yang baik bagi sebuah masyarakat Melayu yang lebih kolektif.

Dari rumah makcik Jalil, kami dibawa ke sebuah madrasah bedekatan rumah Pakcik Jamalon. Di kawasan tersebut hanya terdapat lebih kurang 37 keluarga Islam. Tetapi madrasah tersebut hanya mengadakan kelas Al-Qur’an untuk kanak-kanak sahaja. Method yang digunakan juga agak berbeza tetapi ada sedikit persamaan dgn cara pengajaran di Malaysia (iqra’). Disini kanak2 diajar mengaji Al-Qur’an sejak kecil lagi. Kami diperdengarkan bacaan Al-Quran oleh beberapa kanak-kanak yang belajar di situ. Wakil kami juga, telah diminta untuk menunjukkan cara pengajian Al-Quran yang diguna pakai di Malaysia dan diminta untuk membacakan beberapa ayat dari Surah Yaasin. Antara masalah yang dapat kami perhatikan dalam pembelajaran al-Quran di Kurunegala ini adalah ibu bapa kepada kanak-kanak ini lebih menekankan agar anak-anak mereka dapat khatam al-Qurum dalam masa yang singkat. Mereka mengutamakan suatu yang ‘tamam’, iaitu sempurna (seperti sudah khatam al-Quran maka sudah sempurnalah ‘kewajipan’ untuk membaca al-Quran). Namun hakikatnya, pengajaran Al-Quran secara ekspres ini memberikan impak yang negatif terutama pada penghayatan al-Quran itu sendiri.

Wakil misi memperdengarkan bacaan Yaasin

Wakil misi mengajar seorang pelajar membaca iqra'

Perkara ini dapat dilihat dari segi pembacaan anak-anak ini. Mereka jarang diajar mengenai tajwid, malah mungkin tidak pernah tahu mengenai tajwid itu sendiri. Mereka juga tidak diajar mengenai makhraj huruf. Walaupun sebutan huruf mereka ada sedikit berbeza dengan Malaysia, itu bukanlah menjadi masalah. Keprihatinan kami adalah adakah mereka tahu bagaimana bunyi setiap huruf itu dikeluarkan dan pembacaan al-Quran yang betul berdasarkan hukum tajwid yang dipelajari. Kerana kesalahan dalam pembacaan al-Quran mungkin mengubah makna sebenar ayat al-Quran yang membawa kepada dosa si pembaca. Perkara ini telah kami sampaikan kepada ustaz yang mengajar al-Quran di situ. Dan seterusnya tanggungjawab kami untuk mengatur satu gerak kerja bagi menghantar seorang ustaz dari Malaysia untuk mengajar al-Quran di sini nanti. Insya Allah.


Selesai lawatan di madrasah, kami semua pulang ke rumah Pak Cik Jamalon untuk berehat dan menunaikan solat. Kemudian kami bersiap sedia untuk beronggeng! Sampai di rumah Pak Cik Farzan Mahmood (setiausaha Kurunegala Malay Association) beberapa orang melayu sudah menunggu kedatangan kami. Acara beronggeng bermula dengan lagu yang dinyanyikan oleh Shimsi kemudian diselang seli dengan persembahan dari kumpulan kami.




Awe sedang beronggeng!

Awe telah menyanyikan lagu dari jawa, Fahmi menanyikan lagu senyum, Syah mempersembahkan sajak mengenai Melayu Sri Lanka dan kami juga beramai-ramai menyanyikan lagu hidup biar berjasa, rasa sayang yang diiringi dengan beberapa buah pantun dan juga lagu Negaraku!. Terasa segan juga dengan mereka yang lain sebab suara kami ni biasa-biasa sahaja. Kami juga diimbau dengan kenangan lagu ‘Ambil Buyung’ yang pernah dinyanyikan oleh Shimsi ketika rombongan pertama sampai ke Sri Lanka dahulu. Apapun, kami seronok dengan ronggeng yang diadakan malam ini. Nasib baik kami tidak disuruh untuk menari! Huhu.. Selesai bernyanyi, kami dijemput untuk menikmati makan malam. Kami dihidangkan dengan laksa. Agak unik sebenarnya makanan ini. Seperti putu mayam, tetapi dimakan dengan kelapa parut pedas dan ayam kurma. Alhamdulillah, kenyang kami. Dah terlebih kenyang sebenarnya!


Selesai beronggeng, kami pun beransur pulang ke rumah. Kami mengadakan sedikit perbincangan mengenai aktiviti sepanjang hari ini, dan juga membincangkan mengenai keperluan aktiviti pada keesokan harinya. Masing-masing dah mengantuk penangan makan terlalu banyak. Perbincangan tidak mengambil masa yang lama, dan kemudian kami semua masuk ke kamar masing-masing untuk beradu.

Sehingga bertemu lagi pada posting yang berikutnya!

Assalamualaikum..

'Misi Rahmatan lil A'lamiin'