Sunday, November 30, 2008

27 November 2008 (Hari ke-12)

Assalamualaikum semua!

Hari ini kami berjalan-jalan dengan YWMA (Young Women Malay Association). Macam persatuan puteri UMNO kalau di Malaysia. Mereka ni di bawah satu bumbung dengan YMMA. Mereka yang akan menyusun perjalanan kami hari ini.

Kami ke Kandy hari ini. Dulu kami ke Kandy sekadar untuk berjumpa dengan Kandy Malay Association. Tak sempat untuk berjalan-jalan melihat Kandy yang terkenal dengan kawasan tanah tinggi yang sejuk. Seperti di Cameron Highland di Malaysia. Perjalanan mengambil masa selama tiga jam setengah. Kami semua menaiki bas bersama dengan ahli-ahli YWMA yang lain seramai lebih kurang 10 orang. Perjalanan yang agak lama dengan jalan yang kurang baik membuatkan kami pening-pening lalat. Mujur kami menaiki bas yang ada penghawa dingin. Tak adalah mabuk sangat. Ditambah lagi dengan keriuhan ahli-ahli YWMA yang mengalahkan kaum muda seperti kami ini, membuatkan perjalanan kurang membosankan. Tanyalah kepada semua sukarelawan bagaimana mereka bergembira!

Kami singgah sebentar di sebuah kedai roti untuk sarapan pagi. Seperti biasa, makanan kami semuanya ditaja. Alhamdulillah. Selesai sarapan pagi, kami meneruskan perjalanan. Destinasi pertama kami ialah Pusat Islam untuk Orang Kurang Upaya (Islamic Centre for the Physically Handicaped). Kami diberi peluang untuk mendekati pelajar-pelajar di pusat ini dan bagaimana pusat ini beroperasi. Kami sangat kagum melihat kelengkapan yang disediakan khusus buat mereka yang kurang upaya. Kesemua kanak-kanak di sini, dilihat begitu tekun dan bersungguh-sungguh dalam belajar, meskipun mereka sedar akan ketidaksempurnaan diri mereka. Tamparan hebat kepada kami yang sempurna kejadian ini untuk menginsafi betapa semua yang kami nikmati selama ini, hanya pinjaman, dan tidak kira waktunya boleh diambil semula oleh yang Maha Esa








Inilah antara hidangan sarapan kami. Nampak best kan?













Sebahagian gambar yang sempat kami ambil di Islamic Centre for the Physically Handicaped


Seusai melawat ICPH, kami di bawa pula ke 'Elephant Orphanage' di mana terdapat banyak gajah-gajah yang kehilangan ibu bapanya (sebab tu la namanya pun orphanage). Tak terkiralah rasanya bilangan gajah-gajah tu, rasa macam di zoo pun ada,bayangkan kami di kelilingi dengan gajah-gajah yang sememangnya besar dan agak menakutkan. Menurut Makcik Mackiyyah(Ketua YWMA), jika waktu panas, kebiasaannya,gajah-gajah ini lebih gemar berlegar2 di sekeliling kawasan mereka, tetap memandangkan cuaca pada hari tersebut agak lembap kerana hujan, maka gajah-gajah ini tidak mahu keluar. Di sini, terdapat juga gajah yang cacat dan di asingkan di tempat yang khusus. Kami sempat mengabadikan kenangan bersama gajah-gajah beserta wanita-wanita umno sekalian sebelum berangkat ke destinasi berikutnya. Rasa terkilan juga kerana rata-rata diantara kami teringin untuk menunggang gajah, tapi apakan daya, kami terikat dengan masa.




Mengabadikan kenangan dengan berlatar belakangkan sekumpulan gajah







Dua ekor gajah yang cacat ini ditempatkan di tempat yang khas.


Kami kemudiannya berhenti seketika di sebuah kedai makan/warung untuk menikmati hidangan tengahari walaupun sudah menghampiri waktu petang. Perjalanan yang jauh membuatkan kami semua berasa lapar,(ingatkan kami sahaja yang lapar, puteri2 umno ni dah serbu dulu makanan,hehe). Alhamdulilah, kami makan dengan penuh kenkmatan kerana ada sesuatu yang istimewa, Jeng..jeng..jeng..ada 'papedem'. Inilah yang menyelerakan tekak kami. Ada lagi satu, Air SMAK( jus buah-buahan) yang hanya bole didapati di Sri Lanka sahaja. Kami berkongsi minuman memandangkan semua makanan kami ditaja, jadi kami pun beringat la sama.





Inilah dia Air Smak (Gambar papedem xsempat ambil sebab dah abis dulu.hehe)


Seusai makan tengahari, kami dibawa ke Kurugama Tea Factory yang terletak di atas bukit yang memakan masa agak lama untuk sampai ke puncaknya. Kami agak risau memandangkan kami belum menunaikan solat dan tidak tahu kemana mereka ingin membawa kami semua. Trip kami ini diketuai oleh Pakcik Halim dan kami dibawa ke rumah Adik ipar Pakcik Halim yang memiliki ladang dan kilang memproses teh yang sangat besar. Setibanya di rumahnya, kami agak terpegun melihat keindahan flora di sekeliling rumah yang tersergam indah. Menghirup udara yang segar membuatkan kami merasa seolah-olah berada di Cameron Highland. Namun, lamunan terhenti sebentar kerana masih ada amanah dan tanggungjawab sebagai seorang muslim belum terlaksana. Kami segera bersiap untuk solat berjemaah dengan harapan puteri-puteri umno sekalian berjemaah bersama kami, namun fikiran kami meleset. Mereka lebih mengutamakan hidangan yang hampir sejuk dari menunaikan solat. Kami semua hanya berlapang dada dan berfikir secara positif. Selesai solat, kami menjamu hidangan minum petang yang di sediakan walaupun agak keletihan. Di sini, teh menjadi salah satu kemestian bagi hampir setiap hidangan, dan memandangkan kami pergi ke ladang teh,maka hidangannya mestilah air teh,hehe. Sejurus selepas itu, kami dibawa bersiar-siar sekitar kawasan rumah dan singgah di kilang teh milik adik ipar Pakcik Halim.







Kilang teh yang diberi nama Kurugama Tea Factory sangat besar dan dilengkapi dengan alatan memproses teh yang boleh dikatakan agak moden. Walaupun kami tidak sempat melihat cara memproses teh dengan mesin tersebut kerana kami tiba agak lewat memandangkan kilang tersebut berhenti beroperasi pada petang itu, namun sempat juga kami di terangkan oleh Pakcik Halim bagaimana teh di proses dan dihasilkan mengikut saiz,gred dan kualiti tertentu. Satu pengalaman baru dan agak menarik bagi kami. Tidak lama selepas itu, kami beransur pulang memandangkan kami perlu sampai ke bawah bukit sebelum gelap kerana faktor jalan yang berliku-liku di kaki bukit dan juga sempit.







Sukarelawan meneliti kualiti teh yang dihasilkan sesudah diproses.



Bulan turut mengiringi perjalanan kami menandakan malam sudah tiba. Kami berangkat pulang ke Colombo dan dalam perjalanan pulang, kami berhenti seketika kerana ada insan yang telah menanti kehadiran kami sedari tengahari lagi iaitu sahabat-sahabat syah dan fahmi yang mengikuti program lawatan ke Malaysia setahun yang lepas. Kami berkenal-kenalan manakala syah dan fahmi melepaskan rindu mereka dengan berjabat salam dan berpelukan memandangkan kesemuanya lelaki. Beberapa minit kemudian, kami bergerak pulang ke Colombo. Sebelum sampai di tempat kediaman kami, bas berhenti di sebuah restoran untuk makan malam. Namun, kami lebih memilih untuk tidak makan memandangkan kesemuanya keletihan. Akhirnya, bas menuju ke kediaman kami dan perjalanan program hari ini berhenti setakat ini.



sahabat-sahabat fahmi dengan syah yang sekian lama tidak bertemu

(macam jejak kasih pulak ;P)


Sekalung penghargaan buat insan-insan yang menjayakan perjalanan program hari ini dan terima kasih atas pengalaman yang cukup bermakna dan mengajar kami erti kesabaran dan kehidupan serta ingatlah bahawa "Yang baik kita jadikan pedoman,Yang tidak elok kita cuba betulkan,Yang lemah kita bangkitkan, Yang alpha kita sedarkan".




















No comments:

Post a Comment